WAZAKKIR FAINNAZIKRA TANFAALIL MUKMININ

"Barangsiapa yg ada padanya 3 syarat ini, ia dapat merasai kemanisan Iman:Pertamanya, jika ia mencintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya pada yg lain.Keduanya, jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan Allah dan Ketiganya, jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka"

Tuesday, December 27, 2011

TUNTUTAN DAKWAH



Mengajak manusia bil hikmah kepada jalan yg benar sesuai dengan perintah Allah untuk kemaslahatan dan kemuliaan mereka di dunia dan di akhirat.


Ertinya:” Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah” (Ali-Imran: 11)

FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN DALAM DAKWAH

Pelengkap kapada kekuatan-kekuatan fizikal, mental, emosi dan disiplin ialah kekuatan kerohanian. Asas kapada kekuatan kerohanian adalah kemurnian jiwa raga kita.Kemurnian perhubungan kita dengan Allah SWT & Kemurnian perhubungan kita dengan manusia. Segala bentuk kemurnian ini adalah keimanan dan ketaqwaan kita.Asas kapada keimanan dan ketaqwaan kita adalah ingatan kita kapada Allah SWT setiap waktu dan ketika. Justeru faktor kejayaan dalam dakwah itu juga dipengaruhi oleh kekuatan rohani yang kuat dalam diri seorang daie. Bila dalaman kuat, maka seorang daie itu berupaya untuk melaksanakan pendekatan-pendekatan dakwah.

Keperibadian pendakwah sebagai model dakwah (role model)
Demi sesungguhnya, adalah bgi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). Al-Ahzab, Ayat 21

Dalam menjalankan tugas dakwah, amatlah penting bagi pendakwah itu sendiri mempunyai keperibadian yang tinggi. Ini kerana pendakwah itu sendiri akan menjadi model kepada masyarakat



HALANGAN DAKWAH

Dalam meniti liku dan lurah-lurah perjalanan ini kalaulah seorang Da’ei tidak berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, tidak berhubung terus dengan Nya, tidak bertawakkal kepadaNya, tidak berpegang kepada KitabNya dan tidak pula mengikuti Sunnah NabiNya maka sebenarnya ia sedang berada di ambang bencana dan musibah yang besar.

Orang Mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang susah:

1. Mukmin yang dengki padanya


Sebagaimana lumrah diketahui hasad adalah penyakit hati yang amat berbahaya. Hasad boleh mengikis Iman seseorang Mukmin jika ia tidak cepat kembali siuman, bertaubat kepada Tuhan dan tidak dilimpahi ‘Inayah dan Rahmat Subhanahu Wata’ala.
Tepat seperti yang apa disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam:

“Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, Saya tidak maksudka ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah ia mengikis agama.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)

2. Munafiq yang benci kepadanya

Halangan kedua yang dihadapi oleh para da’ei Muslim ialah kebencian dan tipu-daya golongan munafiqun.Orang-orang yang munafiq memang ada di mana-mana dan dalam zaman apa pun sepanjang sejarah tidak sunyi dan kewujudan mereka. Ini adalah kerana motif dan karenah kemunculan golongan ini memang ada dan mungkin wujud bila-bila masa.
Ada yang menjadi munafiq didorong oleh pertimbangan untuk merangkul kepentingan duniawi.

Kadang-kadang ia berselindung di sebalik taqwa dan agama untuk sampai kepada tujuannya. Ada yang menjadi Munafiq dengan tujuan mencetuskan krisis, melaga-laga dan memecahbelahkan barisan umat Islam. Ada yang berbuat demikian kerana niat jahatnya sendiri. Ada pula yang mendapat arahan dan orang lain. Mereka pun meresapi jamaah untuk tujuan-tujuan tadi.

Terdapat juga golongan yang sifat Munafiq telah mendarah daging dalam dirinya hingga sukar untuk melepaskan diri dari sifat ini. Ada yang menjadi haipokrit untuk berkuasa atau melepaskan diri dan penindasan penguasa.

Dengan sifat ini orang Munafiq cuba merangkul habuan dunia yang fana, atau pangkat kebesaran yang tidak kekal. Ia malah sanggup menjual agamanya dengan mendapat bayaran kesenangan dunia. Kadang-kadang sifat ini ditimbulkan oleh rasa dendam, atau dengki atau kedua-duanya sekali. Manusia Munafiq mempunyai sifat-sifat dan perwatakan tertentu.

Rasulullah telah menerangkan ciri-ciri mereka supaya dikenali oleh para Mukminin. Dengan demikian mereka dapat menghindarkan diri dari bahaya mereka.
Antara Hadith Rasulullah yang berkaitan ialah sabda beliau:

“Ada tiga sifat; siapa yang.memilikinya maka dia adalah Munafiq walaupun ia berpuasa, solat, naik haji, mengerjakan umrah dan mengaku muslim. Iaitu orang yang berdusta bila berkata, mungkir bila berjanji dan mengkhianati amanah.”
(Riwayat Abu Ya’li)

3. Kafir yang memeranginya

Halangan ketiga yang dihadapi oleh para da’ei khasnya sekarang ialah
cabaran keras, tipu daya dan komplot-komplot orang Kafir. Orang-orang kafir adalah pengembang dan penyokong-penyokong kebatilan. Mereka alat-alat syaitan, pengikut-pengkutnya pada bila-bila masa dan di mana juapun. Mereka selama-lama adalah musuh kebenaran, keimanan hingga hari kiamat.

Pertarungan antara iman dan kufur berlarutan sejak dari dulu dan sepanjang hayat sehinggalah Allah mewarisi bumi ini dan segala isinya. Pertarungan ini amat sengit kerana ia merupakan pertarungan antara dua pihak yang saling bertentangan.
Pertentangan ini terbayang dalam firman Allah Maksudnya:

Katakanlah: “Siapakah Tuhan langit dan bumi?”Jawabnya: “Allah “. Katakanlah: “Maka patutkah kamu mengambil pelindung-pelindungmu selain dari Allah, padahal mereka tidak dapat memberi manfaat atau mudarat bagi diri mereka sendirii?

” Katakanlah: Adakah sama orang buta dan orang yang melihat, atau samakah gelap gelita dan, terang benderang; apakah mereka menjadikan beberapa sekutu bagi Allah yang dapat menciptakan seperti ciptaanNya sehingga kedua ciptaan itu serupa menurut pandangan mereka?” Katakanlah: “Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dialah Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”

(Surah A1-Ra’d: Ayat 16)

4. Syaitan yang menyesatkannya

Halangan keempat yang dihadapi oleh para pendakwah yang bahaya dan pesonanya lebih hebat dan halangan sebelumnya, yang menjadi pangkal segala bencana dan penyelewengan ialah tipu daya syaitan, putar belit iblis dan karenah hawa nafsu.

Pendakwah akan tetap selamat meskipun halangan luaran, sosial, politik, ekonomi dan lain-lain yang dihadapinya amat besar, selama mana ia tidak menyerah kepada nafsu dan tunduk melutut kepada kehendak syaitan. Syaitan memang musuh Mukmin yang paling besar. Ia tidak jemu menipu, menimbulkan keraguan dan meransang ke arah kejahatan. Selagi ada hayat dikandung badan dan selama iman masih bertakhta di dada selama itu ia tetap merasuk.

Syaitan pernah bersumpah:

“Demi kemuliaanMu (Allah) akan Aku perdaya mereka (anak Adam) semuanya kecuali para hambaMu yang ikhlas di kalangan mereka. Allah menjawab. Yang hak dan yang benar Aku katakan: “Aku akan penuhkan neraka jahannam dengan (diri) mu dan sesiapa dan mereka yang menurutmu semuanya.”

Kerana sumpah syaitan ini maka para pendakwah hendaklah lebih waspada terhadap syaitan dan musuh-musuh yang lain. Sebab syaitan musuh yang bukan kepalang bahayanya

5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya

Halangan dan cabaran kelima yang dihadapi oleh para da’ei ialah ketegalan dan keliaran nafsu. Nafsu dengan segala karenahnya tidak mudah untuk diatasi oleh seorang da’ei. Tepat seperti yang tersebut dalam A1-Qur’an terhadap kata-kata Nabi Yusuf:

“Aku tidak membebaskan diriku (dari beban dosa) kerana nafsu sering menyuruh yang buruk, kecuali orang yang dirahmati oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku maha pengampun maha penyayang.”
(Surah Yusuf: Ayat 51)

Sebenarnya nafsu seseorang itu adalah wadah tempat berinteraksi segala yang buruk dan jahat, halal dan haram, hak dan batil. Ia laksana bejana yang menerima apa sahaja. Baik hidayah mahu pun dalalah, baik yang luhur mahu pun yang onar. Sesuai dengan firman Allah:

“Demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), justeru Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
(Surah Al-Syams: Ayat 7)

Luruskan niat-niat kita untuk apa kita melakukan usaha dakwah ini. Jalan da’wah ini menghantar kita ke syurgaNya. Kuatkan hati biarpun terlalu banyak kelemahan – kelemahan yang kita ada dan banyak halangan di hadapan sana, Allah telah memuliakan kita dengan risalah agung ini, Allah telah memilih hati – hati kita untuk mengembangkan da’wah yang suci, Masakan tiada ujian yang diberikan olehNya buat hamba-hambaNya yang beriman.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,
“Kami telah beriman,”, dan mereka tidak diuji?”
(Al-Ankabut, 29:2)

No comments:

Post a Comment