WAZAKKIR FAINNAZIKRA TANFAALIL MUKMININ

"Barangsiapa yg ada padanya 3 syarat ini, ia dapat merasai kemanisan Iman:Pertamanya, jika ia mencintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya pada yg lain.Keduanya, jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan Allah dan Ketiganya, jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka"

Thursday, September 23, 2010

TAAT DAN MAKSIAT SAMA SAHAJA DISISI HATI YANG MATI

Ketika mengulas hadis Nabi s.a.w yang bermaksud , menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim, seorang bernama Fatah al-Mausili rahimahullah telah mengemukakan pertanyaan kepada muridnya: “benarkah seorang pesakit itu akan mati jika tidak dirawat dan tidak diberi makan dan minuman?”

“Benar katamu wahai tuan guru”.Jawab muridnya.Beliau seterusnya menegaskan, “Demikian juga hati manusia jika disekat selama tiga hari daripada menerima ilmu dan hikmah, pasti ia akan mati”.Yang dimaksudkaan ilmu itu ialah syariat yang menjelaskan hukum hakam dan peraturan Allah SWT.Sementara hikmah ialah kebijaksanaan menggunakan ilmu tersebut untuk menghubungkan diri dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.

Rohani atau jiwa dicipta oleh Allah SWT untuk membolehkan manusia berhubung dengan Allah SWT , tubuh kasar manusia sama seperti tubuh kasar makhluk lain tidak layak untuk berhubung dengan zat Allah. Oleh kerana Allah SWT menghendaki agar manusia berhubung denganNya, maka diciptakan rohani atau jiwa manusia tidak dapat dilihat.

Apabila hati nurani manusia telah mati, maka kematiannya menyebabkan mereka kehilangan upaya untuk berhubung dengan Allah SWT .Inilah puncanya manusia tidak takut dengan dosa dan azab Tuhan, tidak merasa resah jika melakukan dosa dan maksiat, tidak merasa tenteram jiwanya jika taat dan ibadat kepada Allah SWT , malah taat dan maksiat sama sahaja disisi hati yang mati.

Manusia yang tidak mempunyai ilmu tidak akan mendekatkan dirinya dengan Allah SWT,malah tiada usaha untuk mencarinya, sepatutnya mereka mengetahui bahawa hati mereka sudah tenat , seolah sedang nazak menunggu saat kematiannya. Masalahnya,manusia tidak sedar hati dan rohani mereka telah mati, kerana kematian rohani tidak seperti kematian jaad yang dapat dilihat dengan mata kasar.Yang melalaikan manusia dari menyedari kematian rohaninya, diantaranya ialah terlalu kasih dan asyik serta bekerja keras untuk mencari kelazatan duniawi.Situasi itu melumpuhkan deria dari merasai kematian rohaninya sendiri.

Oleh kerana menumpukan sepenuh perhatian terhadap perkara duniawi semata-mata, hingga tiada lagi rasa gerun kepada azab neraka dan tidak peduli terhadap kemurkaan Allah SWT.Kita mohon agar Allah SWT melindungi dari tergolong didalam orang-orang yang dimurkaiNya.

Berkata Sayidina Ali : “Sesungguhnya manusia semasa hayatnya itu sedang tidur lena, mereka terkejut dan terjaga apabila kematian mendatanginya”.

Natijah dari perbuatannya dapat dilihat dengan nyata ketika ajal (sakaratul maut) tiba.Malangnya mereka tersedar ketika berada di ambang barzakh, segalanya sudah terlambat kerana hari pembalasan sduah jelas berada di depannya. Suatu hari Hanzalah bersama Abu Bakar menghadap Nabi s.a.w, mereka menyatakan rasa bimbang seolah dirinya berada di pinggir jurang munafik. Ini kerana ketika bersama Nabi s.a.w beliau bagaikan melihat syurga neraka di hadapan matanya.Tetapi bila beredar dari sisi Nabi s.a.w segalanya lenyap.

Nasihat Nabi s.a.w kepada dua sahabat tersebut itu : “ Kalau anda boleh mengekalkan keadaan sebagaimana ketika berdepan denganku, nescaya malaikat akan berjabat tangan dan mengusap belakangmu tanda terima kasih, kerana anda adalah insan yang mempunyai nilai tinggi umpama malaikat”.

Tetapi sebagai manusia biasa, ada ketikanya anda terlupa hari akhirat buat seketika, ingatan mungkin terganggu terutama ketika mengharungi urusan dunia. Namun berusahalah agar ingatan dan pendirian anda kekal sebagaimana anda bersama-samaku.

Ibnu Mas’ud r.a seorang sahabat yang sangat akrab dengan Nabi s.a.w berkata, “ Menjadi kewajipan kamu menuntut ilmu, sebelum ilmu tersebut di angkat kelangit oleh Allah SWT, iaitu dengan matinya para ulama.Tidak seorang pun insan dilahirkan dalam keadaan berilmu, bahkam ilmu diperolehi dengan mempelajarinya”.

Setelah alim ulama dimatikan oleh Allah SWT, maka tiada lagi guru yang akan mengajar ilmu berkaitan dengan Allah SWT. Justeru, tuntutlah ilmu selama ilmu masih wujud di dunia ini.

No comments:

Post a Comment